PERUTUSAN PENASIHAT




بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Segala Puji bagi Allah kerana dengan limpahNya, saya diberikan ruang dan peluang untuk memberikan sedikit pandangan dan harapan sebagai Penasihat Masjid Sultan Ismail, Chendering, Kuala Terengganu.

Masjid ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa yang dilantik daripada wakil-wakil qariah dari seluruh kawasan Chendering. Saya yakin dan percaya bahawa masjid ini akan dapat menjadi satu institusi yang berperanan besar dalam menegakkan syiar Islam dan pembangunan Islam di dalam Mukim Chendering ini di mana ianya diharapkan akan juga memainkan peranan dalam merapatkan perhubungan di antara seluruh anak mukim dalam mengembangkan dan memartabatkan pembangunan masyarakat selaras dengan lunas-lunas Islam.

Pembangunan masjid yang semakin pesat dari tahun ke setahun adalah bagi memenuhi keperluan rakyat dan masyarakat setempat. Namun demikian, pembangunan masjid yang berunsurkan fizikal semata-mata perlu diselaraskan dengan erti sebenar masjid kepada kehidupan awam dan umat Islam khususnya. Kerendahan ilmu berkaitan masjid dan fungsinya akan membantutkan peranan masjid kepada masyarakat sekiranya kelemahan dan cabaran tersebut tidak diatasi dengan bijaksana. Sesetengah masyarakat masih mengamalkan budaya material dan individual serta khayal dengan trend masa kini yang diimport dari Barat adalah antara punca kepada stigma masyarakat dari pelbagai lapisan perlulah diberi pendedahan secara proaktif agar mereka tidak terus meminggirkan masjid.

Dalam hal ini, ialah menjadi satu amanah dan tanggungjawab besar bagi kita untuk memikirkan bagaimana cara kita dapat menggembeling anggota masyarakat dan semua pihak yang terlibat dalam usaha meninggikan martabat masjid. Mengembalikan peranan dan fungsi masjid sebagaimana yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah meletakkan masjid sebagai sebuah institusi penting dalam pembangunan dan pembentukkan ummah.

Untuk itu, maka saya menyeru kepada AJK dan Pegawai-pegawai Masjid agar sentiasa meningkatkan kemahiran dari sudut keilmuan agar kita bukan sahaja mampu menjalankan tugas dengan baik tetapi pada waktu yang sama menjadi tempat rujukan masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Akhir kata, saya berharap Masjid Sultan Ismail, Chendering ini akan terus cemerlang dalam memartabatkan institusi masjid dan pembangunan syiar Islam di Mukim Chendering ini. Saya selaku Penasihat Jawatankuasa Masjid Sultan Ismail, Chendering dan dengan kerjasama erat semua AJK akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan masjid ini terus membangun dan berdiri sebagai sebuah masjid yang gemilang, insyaallah.

Sekian, terima kasih.

HAJI ISMAIL BIN DAUD